Abasa-Neraca Allah vs neraca manusia

Surah ‘Abasa merupakan antara surah yang terletak dalam kalangan juzu’ amma dan punya bingkai cerita yang  berlatar belakang persis kebanyakan juzu’ amma yang lain iaitu menceritakan hakikat dunia yang fana yang pasti akan berakhir yakni dengan Hari Qiamat.

Namun begitu, Surah ‘Abasa punya asbab nuzul yang istimewa sebagai pengajaran  kepada para daie yang disampaikan melalui murobbi agung kekasih Ilahi, Rasulullah s.a.w.

Secara keseluruhan, Surah ‘Abasa terbahagi kepada empat bahagian iaitu :

  1. 1.    Peristiwa si buta Abdullah Ibn Ummu Maktum- yang menjadi asbab nuzul kepada surah ini.
  2. Keingkaran dan kekufuran manusia, peringatan asal-usul kejadian manusia, kemudahan untuk memilih jalan hidup & urusan kematian dan kebangkitan semula. (Ayat 17-23
  3. Keajaiban makanan sebagai satu mukjizat.
  4. Hari Qiamat- suasana dan keadaan manusia.

Ayat 1-16: Peristiwa Abdullah ibn Ummu Maktum

Suatu hari, ketika Abdullah ibn Ummu Maktum datang kepada Rasulullah untuk mengetahui lanjut tentang agama islam, baginda memalingkan wajahnya. Atas sebab waktu itu, baginda merasakan kepentingan dakwah baginda lebih aula kepada para pembesar Quraisy yang sedang baginda dakwahi ketika itu, iaitu ‘Utbah dan Syaibah, Abu Jahal, ‘Umayyah ibn al-Khalaf, al-Walid ibn al-Mughirah serta al-‘Abbas ibn al-Mutallib. Rasulullah s.a.w menceritakan kepada mereka tentang Islam dan berharap dengan keislaman mereka maka kebajikan Islam akan lebih terjaga tatkala baginda mengahadapi kepayahan. Nampaklah di sini bahawa Rasulullah bukan bertindak demikian atas tujuan peribadi baginda pun, tapi atas tulus ikhlas kerana tuntutan dakwah dan kasih baginda terhadap agama Islam itu sendiri yang mahu melihat agama Islam tersebar lebih luas.

Namun kemudian, datang peringatan dari Allah yang mengingatkan bagaimana seharusnya timbang tara manusia dalam kehidupan di dunia, dalam pemilihan dan penilaian. Manusia hidup di bumi lalu mengambil aspek persekitaran mereka untuk menilai sesuatu dalam kehidupan mengikut ISO penanda aras ‘layak’ dan ‘sesuai’ ciptaan sendiri. Sedangkan di sisi Allah, nilai yang tiada tara adalah nilai ketaqwaan itu sendiri dan bukan nilai yang disandarkan pada pandangan zahir manusia yang banyak terikat dengan nilai-nilai yang diciptakan oleh manusia sendiri.Maka, surah ini diturunkan untuk mengingatkan manusia bahawa yang penting ialah pada sudut pandang neraca Allah, bukan neraca pada pandangan zahir manusia.

 

“Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).”

[Al-Hujurat, 49:13]

Lalu, peristiwa Rasulullah s.a.w dan Abdullah ibn Ummu Maktum menunjukkan kapada kita betapa pentingnya peringatan ini sehinggakan Rasulullah s.a.w sendiri memerlukan bimbingan langsung dari Allah Taala. Maka sebagai daie, haruslah kita mengambil pengajaran daripada surah ini sebagai bimbingan untuk kita mendahulukan golongan mad’u mana yang harus kita utamakan demi kelangsungan dakwah dan tarbiyah yang muntij.

Mereka yang seperti Abdullah ibn Ummu Maktum, yang datang bersungguh-sungguh dengan muka berseri-seri dan mata bersinar-sinar untuk mengenal islam serta punya keinginan untuk mentazkiyah diri, maka golongan ini yang harus diutamakan dan bukan diabaikan.

Sedangkan golongan lagi satu yang persis pembesar-pembesar Quraisy tadi, telah Allah nyatakan seperti dalam ayat 5-7, tak menjadi kesalahan pun kepada para daie seandainya mad’u yang kita kejarkan itu, yang kita rasakan akan memberi impak besar pada islam namun merasakan diri mereka berdikari, tak memerlukan pun kepada peringatan dan hidayah Allah, maka orang seperti ini tak rugi pun jika kita tidak meletakkan mereka sebagai prioriti dakwah  kerana kerugian atas mereka sendiri yang tak ada keinginan pun untuk memperbaiki dan membersihkan diri dari jahiliyyah sendiri seperti para pembesar Quraisy tadi.

 

Ayat 17-23: Kekufuran Manusia, Asal-usul Kejadian Manusia, Pilihan Kehidupan, Kematian dan Kebangkitan Semula

Sentap! Baca ayat 17 dengan mata hati, memang terkejut. Atas sebab apa Allah katakan manusia ini wajar dibunuh??? Sebab kekufuran dan kesombongan menolak hidayah dan dakwah yang disampaikan untuk mentazkiyah diri. Seperti peristiwa yang diceritakan di atas tadi yang mana golongan yang tak merasakan perlu terhadap apa yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. maka Allah telah mengecam orang –orang yang merasakan seperti itu wajarlah dibunuh!

Kenapa lagi?

Apakah asal-usul kejadian manusia ni hebat sangat mengalahkan kejadian langit dan bumi? Tak. Penciptaan langit dan bumi jauh lebih hebat, namun kejadian kita pun tak kurang hebatnya yang diciptakan oleh Allah Yang Maha Menciptakan dan Maha Membentuk Rupa, dijadikan kita seindah dan sebaik-baik kejadian sedangkan asal kita ini hina dina. Lalu setelah diciptakan sedemikian indah rupa, Allah juga yang telah memberi kita kemudahan untuk memilih jalan kehidupan. Baik atau buruk. Islam atau jahiliyyah. Allah telah beri kita semua kemudahan termasuklah akal yang cerdas untuk berfikir, lalu kenapa manusia tidak juga mahu menggunakan nikmat akal itu untuk berfikir dengan baik untuk memilih jalan hidayah Allah? Allah juga mengurniakan jasad yang sihat, sifat yang cukup dengan kelebihan-kelebihan yang ada pada diri manusia juga sebagai kemudahan untuk manusia memilih jalan ke arah-Nya.

Lalu sesudah perjalanan hidup itu, manusia pasti akan menemukan mati. Permulaan kejadian manusia sama dengan pengakhirannya- kedua-duanya di bawah kekuasaan Allah Taala. Namun, kematian manusia juga dimuliakan Allah, subhanallah!

Seperti kisahnya pembunuhan pertama dalam sejarah manusia, Allah telah mengilhamkan Qabil dengan mengirim sepasang gagak yang berlawan dan akhirnya salah seekor daripadanya mati. Maka gagak yang menang itu mengorek tanah dan menanam serta menimbus kembali lawannya yang mati tadi. Begitu Allah telah memuliakan kematian manusia, manusia tak dibiarkan tinggal di atas mukabumi dimakan binatang buas dan sebagainya tetapi dikuburkan sebagai penghormatan kepada jasad. Berasal dari tanah, ke dalam tanah juga manusia dikembalikan.

Lalu kemudian manusia akan dibangkitkan kembali kerana manusia tak akan dibiarkan hidup percuma di bumi kerana pada setiap ciptaan Allah itu ada hak dan tujuan yang pasti. Allah tak akan menciptakan sesuatu dengan sia-sia. We are not meant to live for no reason.

Seakan sekali lalu Allah menceritakan kitaran hidup manusia, tapi manusia nyata belum lagi melaksanakan perintah Allah dengan sebenar-benarnya dan sebaik-baiknya sehinggalah tiba di penghujung kehidupan di dunia. Seharusnya tidak sama sekali berlaku seperti itu tetapi manusia leka dan lalai semasa hidupnya yang singkat itu, tidak beribadah dengan sebenar-benar ibadah yang ikhlas, tidak bersyukur dengan kesyukuran yang sebenar serta tak menggunakan perjalanan hidup yang singkat yang dipermudahkan Allah itu ke jalan-Nya dalam mengumpul bekalan bagi menghadapi Hari Pembalasan kelak.

 

Ayat 24-32: Makanan Sebagai Mukjizat

Makanan sangatlah asasi dalam kehidupan manusia sehingga terlampau biasa, manusia terlepas pandang pada luar biasanya kejadian makanan yang dah biasa dimakan tu. Maka Allah mengingatkan manusia untuk memerhatikan pada kejadian makanan manusia dan ternakan yang unik lagi hebat!

Asalnya makanan daripada air hujan yang diturunkan oleh Allah Taala yang mana air itu sendiri sangat hebat ciptaan-Nya yang mana Allah telah berfirman dalam surah Al-Mulk:

“Bagaimana fikiran kamu, sekiranya air kamu hilang lenyap (di telan bumi), maka siapakah (selain Allah) yang dapat mendatangkan kepada kamu air yang sentiasa terpancar mengalir?”.

[Al-Mulk, 67:30]

 

Maka daripada air itu, tumbuhlah pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan yang pelbagai rupa dan warna. Bagaimana tertumbuh? Melalui belahan yang sempurna. Belahan yang pada hemat kita nampak biasa tapi pernahkah kita terfikir selama ini begitu hebat sangat tunas pokok yang lembut dan kecil dengan perlahan muncul menampakkan diri di permukaan tanah yang keras? Maka kuasa apakah lagi kalau bukan qudrat Ilahi yang telah membelahkan bumi dengan sempurna baginya untuk menerobos tanah yang keras kerana tunas itu sendiri sangatlah kerdil dan lembut untuk menembusi tanah bumi, melawan arah graviti pulak tu. Subahanallah!

Kemudian, ditumbuhkan pula pelbagai jenis biji-bijian dan buah-buahan serta kebun yang subur. Biji-bijian, anggur dan zaitun menjadi contoh yang disebutkan kerana tumbuhan ini menjadi makanan asasi kepada masyarakat arab ketika itu malah ketika ini juga! Maka contoh ini lebih dekat kepada mereka dan makanan sendiri dekat dengan manusia untuk kita ambil ibrah daripada penciptaanya. Pada tumbuhan-tumbuhan inipun kita dapat lihat ciptaan Allah yang hebat, tumbuh pada tanah yang sama disiram dengan sumber air yang sama tetapi kuasa Allah telah menumbuhkan tumbuhan yang pelbagai. Begitu juga bagaimana kita dapat lihat, semua ciri-ciri baka induk tumbuhan-tumbuhan itu terjaga rapi dan masih mengekalkan ciri-ciri yang sama apabila dicambahkan melalui biji benih daripada tumbuhan asal. Malah, manusia tidak mampu untuk mencipta biji benih sekalipun. Subhanallah!

 

Ayat 33-42: Hari Qiamat- Suasana & Golongan-golongan Manusia

Bahagian terakhir surah ini mengakhiri peringkat penciptaan manusia, kesudahan bagi hidup manusia yang dilimpahi pelbagai kenikmatan.  Pembahagian terakhir surah ini disudahi dengan mengaitkan kembali bagaimana kesan kepada neraca pandang yang dipilih manusia pada awal bahagian surah ini, sama ada neraca Allah yang menjadi pilihan atau neraca manusia yang tidak sempurna yang hanya menitik-beratkan keadaan sekeliling yang duniawi semata.

Seandainya neraca Allah yang menjadi pilihan manusia yang berfikir menggunakan jalan yang telah dimudahkan Allah, maka pada hari Qiamat nanti mereka tergolong dalam kalangan yang wajahnya bersinar-sinar seperti bersinarnya wajah mereka ketika teruja untuk mentazkiyah diri dengan islam seperti kisah Abdullah ibn Ummu Maktum tadi.

Namun, jika neraca manusia yang lebih disukai, neraca yang hanya mengambil nilai duniawi yang hanya berkuatkuasa di dunia dalam kalangan manusia, maka apabila Hari Qiamat nanti, golongan ini menjadi golongan yang rugi kerana nilai itu tidak lagi berkuatkuasa pada hari itu. Wajah mereka suram-muram penuh penyesalan kerana menyedari kesilapan mereka namun telah terlambat dan mareka tahu mereka akan menerima balasannya.

Semoga kita menjadi manusia yang mengikut nilaian pada neraca Allah kerana itulah neraca yang ‘valid’ di dunia mahupun akhirat kelak.

Wallahu a3lam.

*Sumber: Tafsir Fi-zilal Quran

 

Advertisements

Sharing is caring :))

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: