Ramadhan: Eh, Nak Sampai Dah?

 

Baru sebentar Arsyil mendengarkan pengumuman di radio bahawa kurang dari seminngu lagi Ramadhan akan tiba. Bukan dia tidak tahu Ramadhan semakin menghampiri cuma dia terlampau sibuk belakangan ini dan dia seolah-olah sudah lost track of time. Itulah yang tepatnya. Malah dia tidak pernah putus berdoa “Allahumma ballighna ramadaan” tiap kali usai solatnya.

“Eh, nak sampai dah?” Arsyil mula menggelabah. Dia beristighfar.

Dia rasa tidak enak perasaan sebab masih banyak persediaan yang belum dia lakukan baik dari segi fizikal mahupun rohaninya. Arsyil risau dia tak cukup mempersiapkan dengan baik, nanti Ramadhannya jadi bulan yang yang hanya dilalui sambil-lewa.

Dia tak mahu itu terjadi. Tidak sama sekali.

Dia tidak mahu nanti meninggalkan Ramadhan dengan perasaan bersalah membalut dalam jiwa sebab tidak sepenuhnya memanfaatkan bulan penuh barakah yang Allah turunkan itu.

“Aku mesti bertindak! Better late than never!” tegas kata hati Arsyil penuh semangat.

Maka, seminggu sebelum Ramadhan Arsyil telah cuba sebaik mungkin yang dia mampu untuk mempersiapkan dirinya untuk melalui Ramadhan al-mubarak.

Dia meningkatkan bacaan al-Quran setiap hari, memperbanyak ibadah-ibadah nawafil (sunat), dia bermujahadah untuk bangun solat malam dengan bantuan sahabat-sahabatnya, dia juga menyelesaikan terus persiapan untuk lebaran Eidulfitri agar tidak menggangu ibadahnya nanti pada bulan Ramadhan lebih-lebih lagi pada 10 hari terkhir ramadhan yang mana ramai para ‘abid Allah memecut ibadah mengejar keampunan dan barakah bulan mulia Ramadhan yang telah dijanjikan Allah.

Arsyil telah melakukan yang sebaiknya kerana dia tidak mahu ketinggalan sinar barakah dan timbunan pahala dan keampunan yang telah Allah janjikan buat hamba-Nya.

Bagaimana pula dengan kita?

Inshaa Allah kali ini DK akan berkongsi beberapa tips yang boleh kita usahakan sebagai persiapan menyambut Ramadhan al-mubarak kali ini.

1. Bermula Dengan Niat.

Semuanya berbalik kepada niat yang mana niat ini merupakan tunjang setiap ibadah dan amalan kita. Pasakkan niat yang kukuh dalam hati dan berdoalah kepada Allah dengan bersungguh-sungguh agar kita dapat melalui Ramadhan dengan penuh keberkatan. Semakin barakah, semakin beruntung! Justeru bersegeralah kita memohon kepada pemilik barakah juga pemilik hati agar dapat meluruskan niat kita untuk mengejar keberkatan Ramadhan lillahi ta’ala.

2. Berpuasa Sunat.

Latih diri kita untuk banyakkan berpuasa sunat dalam bulan-bulan yang semakin menghampiri Ramadhan. Kata orang putih, ‘practice make perfect’ right? Maka, rajinkanlah diri kita untuk berpuasa sunat. Selain melatih diri sebagai persediaan untuk berpuasa dalam Ramadhan, kita malah dapat meningkat pahala inshaa Allah juga menghindari daripada melakukan perkara-perkara yang maksiat dan lagha(sia-sia), bukan? Dapat menjimatkan duit poket lagi!

3. Tingkatkan Ibadah Nawafil (sunat).

Biasakan diri untuk meningkatkan ibadah-ibadah nawafil sebagai tambahan kepada ibadah wajib. Ibadah nawafil ni ibaratnya aksesori kepada ibadah wajib, nak mencantikkan dan menambahkan pahala sedia ada. Bayangkan rumah atau kereta kita yang punya tambahan aksesori, pasti nampak lebih lengkap dan cantik bukan?

Makanya, tingkatkanlah solat-solat sunat seperti solat Dhuha, Tahajjud atau Witir. Cuba bangun qiyam selalu. Perbanyakkan bacaan al-Quran, contohnya dari 1 mukasurat kepada 5 mukasurat mungkin, dari 10 mukasurat kepada 1 juzuk, dan seterusnya. Banyakkan bersedekah, ringankan tulang membantu orang di sekeliling kita, berziarah untuk menguatkan silaturrahim dan sebagainya. Jangan kita khuatir tidak cukup masa atau seumpamanya kerana keberkatan itu kan datang daripada Allah dan Allah pasti memudahkan jalan untuk hamba-hambaNya yang berbuat kebaikan dan ihsan dalam beribadah dan beramal untuk meraih reda-Nya. Seronok bukan?

4. Persiapan Raya? Settled.

Persiapkanlah persiapan raya seawal yang mungkin sebelum Ramadhan menjelang tiba. Justeru, nanti waktu untuk kita beribadah lebih pada bulan Ramadhan tidak akan diganggu oleh persiapan raya yang duniawi. Maka nanti kita akan ada masa yang lebih untuk menumpukan perhatian kepada ibadah kita. Tak adalah nanti semasa berpuasa kita sibuk memikirkan nak baju raya warna apa, mana tempat membeli-belah yang murah dan jimat dan sebagainya sedangkan waktu-waktu itu boleh kita isikan dengan membaca al-Quran, beriktikaf di masjid dan seumpamanya.

5. Tingkatkan Ilmu.

Banyakkan mebaca bahan-bahan ilmiah berkaitan bulan barakah Ramadhan agar hati kita terikat dan sentiasa bermotivasi untuk melalui Ramadhan dengan penuh bersemangat hingga ke penghujungnya. Banyakkan mebaca juga mentadabbur Quran agar dapat membantu menguatkan jiwa dan membersihkan hati. Bertukar-tukarlah maklumat sesama sahabat dan bertanyalah kepada yang lebih arif jika ada persoalan-persoalan yang kita musykil tentang puasa dan sebagainya di benak fikiran kita. Malu bertanya sesat jalan!

Wallahua’lam.

Sampai di sini dahulu perkongsian berkenaan pra-Ramadhan dari DK. Moga Allah mengurniakan bulan Ramadhan penuh barakah yang megisi jiwa-jiwa kita semua. Semoga di penghujung Ramadhan, kita punya hati yang bersih dan jiwa yang mantap untuk meneruskan jihad untuk bulan-bulan seterusnya.

Allahumma ballighna ramadhaan.

 

Semoga Allah sampaikan kita kepada bulan Ramadhan penuh barakah wa rahmah

Semoga Allah sampaikan kita kepada bulan Ramadhan penuh barakah wa rahmah